Isnin, 15 April 2013

Umpama pengayuh beca pakai jam Rolex

SHAH ALAM: PAS menyifatkan tindakan Umno Kelantan memilih ulama sebagai calon sebagai terdesak dalam menghadapi Pilihan raya Umum ke-13 pada 5 Mei nanti.

Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata jika Umno ingin meniru PAS dalam pemilihan calon yang terdiri dari golongan ulama, mereka sepatutnya tiru semua yang mengikut pegangan Islam.

"Umno sekarang terdesak hendak tiru PAS dengan memilih ulama sebagai calon mereka, kalau nak tiru biarlah tiru semua sekali, bukan separuh.

"Tetapi tidak, Umno tolak Islam tetapi nak mengambil hati pengundi cari ulama, kenapa mereka tak pilih calon mereka sendiri," jelasnya pada program Bicara Cinta di Kompleks Karangkraf pagi tadi.

Katanya lagi, ulama yang dipilih Umno ini palsu apabila lebih mementing kedudukan dari ajaran Islam itu sendiri.

"Di Kelantan, kita tengok orang yang kayuh beca itu pakai jam tangan Rolex, jenama ni mahal tapi bila kita tanya, murah je, beli di Rantau Panjang.
"Itulah ulama yang dipilih Umno, luaran sahaja menggambarkan ulama tapi palsu apabila ketepikan Islam," sambung beliau lagi yang juga Mursyidul Am PAS.

Beliau yang turut bangga dengan sikap orang Cina yang tidak lagi takut dengan Islam.

"Syukur kerana orang Cina tidak lagi takut dengan Islam, ini terbukti apabila DAP dapat bersama kita dan sanggup menggunakan logo PAS jika DAP dihalang menggunakan logo mereka.

"Di Malaysia ini yang takut dengan Islam cuma Umno, orang Cina dah berubah tapi Melayu Umno belum berubah," tambah beliau lagi.

Tuan Guru Nik Aziz yang turut memberitahu kejayaan PAS paling besar di Kelantan adalah dapat mengubah minda dan pemikiran rakyat terutamanya golongan bukan Melayu dapat mengenali Islam dengan lebih dekat tanpa ada rasa takut.

Ahad, 14 April 2013

Ingatlah dulu Politik "Anak Kecil Main Api.. Sekarang nie Anak Kecil Main Tablet"..!!

Politik dulu, kini amat berbeza
NORADILA MAHAMAD
14 April 2013
Politik dulu, kini amat berbeza
Md Ariffin sering membaca surat khabar dan saluran media lain untuk mengetahui maklumat terkini terutama mengenai PRU13.
KUALA TERENGGANU - “Dulu masa berkempen atau pilihan raya memang tak ada masalah langsung, malah boleh dilakukan dengan aman tanpa berpuak-puak,” kata warga emas yang bakal mengundi kali ke-10 pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), 5 Mei nanti.

Pesara kerajaan, Md Ariffin Othman, 68, dari Kampung Simpang Empat, Chendering, sedikit kesal dengan sikap parti politik sekarang yang tidak boleh bersatu seperti yang pernah dialaminya lebih 40 tahun lalu ketika musim pilihan raya.

“Kalau dibandingkan, memang pakcik suka suasana mengundi pada zaman dahulu kerana orang ramai dapat bersatu, malah boleh berkongsi lokasi ceramah.
“Dahulu, Padang Maziah adalah lokasi utama calon masing-masing memperkenalkan diri dan masa itu, ceramah yang disampaikan tidak menyentuh langsung perkara mengaibkan orang, apatah lagi kutuk-mengutuk seperti yang berlaku hari ini,” kata bapa empat anak ini kepada Sinar Harian.

Menurut Md Ariffin yang pertama kali membuang undi pada 1969, dia sendiri tidak dapat meneka parti pilihan rakan-rakannya sehinggalah pada hari mengundi.

“Ini kerana semua penduduk bersepakat menghadiri ceramah disampaikan, sama ada daripada parti Pas, Negara mahupun Kapal Layar (Perikatan).

“Kami sama-sama menaiki kenderaan ke lokasi ceramah dan ketika mendengar syarahan calon, masing-masing menilai sendiri calon mana yang mahu dipilih tanpa sebarang provokasi atau berlaku kes pukul dan sebagainya,” ceritanya.

Keadaan itu sangat berbeza jika mahu dibandingkan pilihan raya sekarang yang kebanyakannya berpuak-puak malah tidak mampu disatukan walaupun bukan pada musim mengundi.

Ditambah pula, samseng-samseng parti dan usaha menghalang pengundi membuang undi dan sebagainya yang tidak dapat dilihat pada zaman dahulu walaupun terdapat parti yang menentang kerajaan.

Namun katanya, walaupun pilihan raya terdahulu lebih menggembirakannya tetapi pada PRU13 kali ini, dia sangat teruja untuk mengetahui kesudahan pilihan raya itu nanti kerana pelbagai isu dan perkara berbangkit dibincangkan parti masing-masing termasuk video, gambar, manifesto dan sebagainya.

“Saya terlebih teruja untuk melihat bagaimana pilihan raya kali ini kerana banyak perkara berlaku daripada pelbagai sudut termasuk calon dan pengundi itu sendiri,” katanya.

DIROGOL MINDA

Politik di negara kita memang banyak isu. Besar-besar belaka. Hingga ada yang membabitkan mahkamah antarabangsa. Tetapi isu skandal seks agak berbeza. Apabila ia mula dimain-mainkan di media semenjak era heret tilam ke mahkamah pada akhir 1990'an, membawa kepada video seks pemimpin PAS, saya rasa seperti saya menjadi mangsa rogol, 'intellectually'!

Tolak ketepi semua isu lain, saya seru agar Barisan Nasional ditumbangkan, agar selepas ini, isu seks menjadi tajuk bilik tidur, dan bilik perbicaraan mahkamah, SAHAJA.

Selamatkan rakyat Malaysia daripada mindanya dirogol!

UBAH!

Sabtu, 13 April 2013

Aduhai MAHATHIR... lama mana sangat hang nak tongkat langit..???

Dr Mahathir tidak akan beruntung selama-lamanya...percayalah..!!
oleh Aspan Alias
Kita sedang berhadapan dengan politik yang terkotor dalam sejarah pilihanraya negara. Pergaduhan begitu sengit dan ada pihak yang tidak merasa malu dan segan untuk melakukan kerja yang tidak sepatutnya dilakukan oleh manusia yang bertamadun. Penyiaran video lucah kini sudah menjadi amalan biasa sejak hampir 15 tahun dahulu dan tentunya mereka yang terdesak sahaja yang sanggup dan berkesampaian untuk melakukan kerja ini.
Punca kenapa sampai begini hinanya permainan politik ini semata-mata kerana di sini setengah pemimpin dan rakyat masih tidak menghormati semangat demokrasi. Jika tidak kerana kuasa perkara seperti ini tidak akan berlaku. Tentulah ia berlaku kerana ada pihak yang tidak sanggup menerima akibat demokrasi itu sendiri.
Jika kita sudah matang, kita tidak akan merasa gusar menerima kekalahan kerana itulah demokrasi. Budaya samseng dan tindakan politik yang di luar tabii demokrasi ini menunjukkan kepada kita yang masih ada pihak yang menerima demokrasi ini jika mereka berada dalam kemenangan. Jika memang itulah demokrasi.
Sebaliknya jika kalah itu bukan demokrasi. Itu adalah politik perkauman yang akan memecah penyatuan kaum yang terbina selama ini. Itulah kata-kata yang terkeluar dari mulut Mahathir Mohammad yang tidak dapat mengimbangkan kedudukan sebagai pemimpin yang besar dengan tindakan yang sejajar dengan taraf yang sepatutnya ada kepada beliau.

Serangan kepada Lim Kit Siang (LKS) oleh Dr Mahathir sudah melewati batas etika kepimpinan dan ini merupakan igauan bagi mereka yang mahu demokrasi itu diterima dengan semangatnya sekali. Kemarahan Mahathir kepada LKS begitu ‘personal’ semata-mata kerana LKS bertanding di negeri kelahirannya di Johor. Apakah kesalahan LKS bertanding di Johor? Bukankah LKS boleh bertanding di mana-mana?
Jika Mahathir sendiri merasakan mahu bertanding saya boleh pastikan yang LKS dan DAP tidak akan menegahnya dan sentiasa terbuka untuk menerima sesiapa sahaja untuk bertanding di mana-mana. Asalkan sahaja seseorang itu rakyat Malaysia yang sah, tidak berstatus bankrap dan tidak gila dan bercakap seorang diri, ia sudah cukup untuk melayakkan seseorang itu untuk turun sebagai calon menawarkan diri dalam pilihanraya negara.
Dr Mahathir tahu yang kemenangan LKS di Gelang Patah itu bukan satu perkara yang mustahil dan ramai berpendapat LKS akan menang. Tentulah Dr Mahathir sendiri tahu yang LKS akan berjaya menembusi kubu UMNO di Johor itu. Persoalan, apa kesalahan LKS di sini? Kenapa Dr Mahathir begitu tersentuh dengan tindakan LKS yang dibenarkan oleh perlembagaan negara. Dalam isu ini LKS telah melakukan tindakan ke Johor itu adalah selaras dengan peruntukan perlembagaan. Kenapa Dr Mahathir pula yang mesti menentukan di mana LKS bertanding?
Hakikatnya Dr Mahathir terlalu takut dengan kemenangan LKS di Gelang Patah ini. Sebabnya beliau sahaja yang tahu walaupun orang ramai boleh mengagak kenapa Mahathir tidak lelap mata dalam tidurnya. Mahathir sentiasa menggunakan isu perkauman untuk politik beliau. Semasa beliau terpecat dari UMNO asal dahulu, beliau menggunakan isu perkauman untuk menguatkan sokongan di kalangan orang Melayu untuk kembali dalam politik negara.
Apabila berkuasa Mahathir menggunakan isu perpaduan kaum untuk mendapatkan sokongan bulat rakyat berbilang kaum pula. Semasa itu Mahathir belasah orang Melayu kononnya Melayu ini bodoh dan sentiasa bersandar kepada politik untuk kehidupan. Pada beliau, Melayu tidak pandai dan Melayu wajar membuang tongkat supaya belajar berdiri di atas kaki sendiri.
Akhirnya beliau sendiri menggunakan pengaruhnya di dalam UMNO untuk mengeluarkan wang rakyat untuk menyelamatkan perniagaan anaknya yang terbengkalai dengan hutang berbillion ringgit. Saudara dan saudari sendiri serta kita semua ini terpaksa melepaskan bala perniagaan anaknya dengan menggunakan wang ringgit kita yang hampir RM2billion.
Apabila beliau bersara dan penggantinya tidak mahu tunduk terhadap kemahuan beliau, beliau bertindak keluar dari UMNO untuk menjatuhkan pengganti yang beliau pilih sendiri. Pada beliau tindakannya keluar UMNO itu adalah untuk kepentingan negara. Mensabotaj partinya sendiri adalah untuk kepentingan negara kononnya. Apabila beliau berjaya menjatuhkan penggantinya itu beliau kembali ke pangkuan UMNO itu dan sekarang sedang memainkan watak sebagai seorang pejuang Melayu pula.
Apa kenanya dengan Dr Mahathir ini kita tidak dapat memahaminya. Mahathir ini seperti 'berjalan dengan seladang'. Jika berjalan di depannya kita akan ditanduknya dan jika kita berjalan di belakangnya kita akan ditendangnya. Seorang sahabat saya berkata, “Mahathir is a pest to the nation”. Saya tidak tahu makna kata-kata kawan saya itu. Tetapi yang saya tahu Mahathir mahukan semua orang mengikut telunjuknya sahaja.
Beliau sudah menjadi tidak keruan kerana kehadiran LKS di Gelang Patah dalam PRU ini. Beliau hanya menunjukkan kekurangan pada diri beliau sendiri. “I feel sorry for this man. I think he needs some therapy urgently,” kata seorang bekas pemimpin UMNO sendiri apabila beliau membuat komen tentang bekas PM ini kepada saya semalam.
Mahathir telah menewaskan semua musuh beliau dalam politik samada dalam UMNO dan luar UMNO. Sekarang beliau berhadapan dengan kehendak alam (nature). Kalau semua orang datang membantu Dr Mahathir pun, beliau sudah tidak dapat dibantu lagi. Semua rakyat akhirnya akan mengenali siapa Dr Mahathir sebenarnya.
Mahathir tidak akan beruntung selamanya. Biarkan sahaja beliau bercakap seorang diri.

Sabtu, 6 April 2013

Suasana politik di Malaysia perlu dibentuk ke arah menjadikan pilihan oleh seorang pengundi kepada parti yang disebut pembangkang, dianggap sebagai pilihan yang demokratik, dan tidak dimomok sebagai pengkhianat, perosak, tidak bersyukur dan lain-lain.

Sebuah negara yang matang politiknya, adalah negara yang rakyatnya bebas menukar parti pemerintah berdasarkan integriti + kompetensi = prestasi.

"Pembangkang pengkhianat", slogan 'sifar pembangkang", adalah terbitan nafsu otokratik, diktator dan monopoli.

Ubah

Jumaat, 16 Disember 2011

Saat Saya Mengenali Anwar, Dan Kenapa Dia Perlu Di Sokong – Part II.


Saya Ahmad bin Kasim, kini Ahli Parlimen bagi Kawasan Kuala Kedah mewakili Parti Keadilan Rayat (Keadilan) mula mengenali DSAI sejak zaman menuntut di UPM sekitar tahun 80an. Oleh kerana latar belakang saya yang terlibat secara langsung dengan ABIM, maka nama DSAI telah menjadi sinonim dengan gerakan ini. Seingat saya tidak pernah terlepas kami membincangkan isu yang berkaitan dengan DSAI samada dalam usrah, tamrin atau perbincangan tertutup mahupun terbuka. Membicarakan isu DSAI adalah sebahagian daripada tarbiyah siasah yang menjadi model “political experiment” dalam kerajaan pada ketika itu.

Kadang-kadang serangan dari sahabat-sahabat Islam (khususnya PAS) ketika DSAI dalam kerajaan, menjadikan tekanan minda yang sangat sukar untuk dipertahankan segala pendirian atau tindakan beliau semasa dalam kerajaan. Biasanya orang-orang ABIM yang menjadi ‘punching beg’ oleh sahabat PAS. Namum kami cuba mencari jawapan-jawapan yang ‘significant’ atau nas-nas yang ada untuk mempertahankan beliau. Ada kalanya amat memenatkan, namun terus bersangka baik, dengan harapan ijtihad yang beliau buat menyertai kerajaan adalah betul.

Beberapa bulan sebelum peristiwa hitam September 98, ketika belum ada pokok yang bergoyang dari tiupan angin yang belum nampak dari arah mana datangnya. Saya menerima panggilan dari pimpinan kanan ABIM pusat supaya bersiap siaga kerana DSAI akan di tangkap di bawah ISA. Saya binggung, amat binggung, kusut pemikiran, kaku pergerakan, mana mungkin seorang yang berjawatan Timbalan Perdana Menteri akan di tangkap di bawah ISA. Saya diminta untuk memaklumkan pada Dato’ Ust Fadzil Noor (Presiden PAS) yang berada di Alor Setar dan pimpinan kanan ABIM Kedah. Ini arahan ABIM Pusat, suara itu mengarahkan saya. Demikian watak ABIM dalam isu berkaitan insan yang bernama Anwar bin Ibrahim.

Tanpa melengah masa, saya yang dalam perjalanan satu urusan membuat pusingan U, untuk bertemu dengan Ust Nia’mat Yusof bersama dengan seorang rakan pimpinan ABIM. Hanya air mata sahaja yang membasai pipi Ust Niamat selepas kami menyampaikan maklumat tersebut. Kunjungan ke rumah Ust Fadzil Noor tidak berhasil kerana ia berada di Kuala Lumpur. Plan tindakan seterusnya adalah menunggu ketibaan Ust Fadzil Noor di Lapangan Terbang Kepala Batas. Saya yang menjadi pemandu dan Ust Niamat Yusof dan Ust Fadzil Noor menjadi penumbang mulia saya pada malam itu. Perbincangan hanya dalam kereta, arahan Ust Fadzil Noor saya akur, hampir sejam saya hanya memutar-mutar kereta saya sekitar Bandar Alor Setar, sambil membincangkan maklumat yang di terima siang tadi. Saya nampak Ust Fadzil membisu terlalu lama, saya tidak tahu samada itu ‘stye’ dia, atau dia memikirkan sesuatu untuk memberikan reaksi pada kami berdua. Saya tak berani menyampok walau sepatah, apatah lagi kedua-dua mereka adalah guru yang sering membimbing saya secara langsung.

Akhrnya dia bersuara “ Mat kita kena siap sedia, Dr Mahathir pasti akan menangkap Anwar”, kenyataan itu menyebabkan sendi lutut saya semakin longgar. Saya mengharapkan jawapan yang positif dari Ust Fadzil supaya boleh melegakan perasaan saya namun beliau memberikan jawapan sejujurnya. Perbincangan kami sekitar watak Dr Mahathir dan watak Anwar. Pesan Ust Fadzil pada kami berdua, kita mesti pertahankan Anwar dengan apa cara sekali pun. Selepas itu saya hanya mendengar perbincangan tertutup di buat banyak kali dengan Ust Fadzil dan Anwar dihadiri ramai kenalan ABIM pusat.

Segala-galanya berubah, menjelang 1998, saat gemilang nama beliau yang gah dipersada dunia, menjadi Menteri Kewangan terbaik buat Malaysia diakui seantaro dunia , kemahuan untuk melakukan islah (perubahan) dalam pentadbiran kerajaan, pelbagai dasar-dasar yang pro Islam khususnya dalam sistem perbankkan, dan dasar serta program yang mesra rakyat, selangkah menuju puncak kuasa, namun ketentuan Allah swt mengatasi segalanya. Dia dipecat dari jawatan dan disingkirkan dari tampok kuasa dan parti secara sadis dan amat memilukan.

Kami menjadikan rangkaian ABIM untuk meneruskan perjuangan yang dirintis oleh DSAI. Hajat DSAI untuk mengempur kubu kuat Dr Mahathir di Kedah disampaikan melalui Sdr Saufudin Nasution kepada saya untuk mencari tempat samada di Baling atau Kubang Pasu. Selepas berkubu lama di rumah beliau di Damansara Utama. tidak ada siapa yang berani memberikan tempat pada Anwar pada ketika itu. Namun saya tekad DSAI mesti dibawa ke Kedah. Hanya Pondok Ust Niamat di Derang, Pokok Sena yang tidak ada kena mengena dengan kerajaan yang berani menawarkan premis buat beliau. Keputusan itu saya buat sendiri tanpa merujuk kepada Ust Niamat, kerana saya tahu Ust Niamat pasti akan setuju. Belum pernah saya mengendalikan majlis yang sebesar itu dalam sejarah umur saya. Kehadiran mencecah puluhan ribu orang dalam tempat yang sangat terhad.

Istiqamah memperjuangkan nasib DSAI oleh Ust Fadzil Noor pada saya amat luar biasa, walaupun pada saat awal beliau di kecam oleh pimpinan PAS di banyak peringkat, namun jawapan politik Ust Fadzil menyebabkan pandangan negatif pada Anwar Ibrahim berjaya di redakan, pada ketika itu. Saya tumpang bersyarah atas kapasiti sebagai Yang Dipertua ABIM Kedah , jawatan rasmi pada masa itu di pentas-pentas parti politik. Sifat ABIM yang ‘non-partisan’ sukar dibezakan bila bersyarah mengenai nasib rakyat dan apa yang menimpa DSAI.

Semasa DSAI dalam penjara, pelbagai versi yang kami terima, sumber-sumber dalaman dan luaran menyebabkan perjuangan kini semakin manis. Penjara bukan segala-galanya. DSAI mengajar kita untuk berjuang walau dari dalam tembok besi. Semasa beliau dalam penjara, sempat saya menghadiahkan sebuah buku yang telah saya khatam bacaannya ‘ Mencapai Maqam Siddiqun dan Rabbaniyyun’ oleh Sheikh Said Hawwa. Sebuah buku dari syarah kitab Hikam (Sheikh Ibnu Atil’llah As-Sakandari) yang saya tekuni membaca dan merasai kelazatan ilmunya. Saya hanya mampu menghantar pada DSAI yang berada di dalam penjara Sg. Buluh pada ketika itu dengan sedikit surat kiriman dari seorang adik kepada abangnya yang sedang menghadapi kesulitan di penjara. Hanya tawakal kepada Allah moga buku itu dapat sampai ketangan beliau.

Menghadiahkan buku itu adalah nazar saya, apabila saya habis membaca maka saya akan menghadiahkan kitab tersebut padanya. Alhamdulilllah, walaupun beliau tak mengenali saya dengan dekat, namun hajat dan hasrat saya termakbul juga akhirnya. Beliau membalas surat saya dengan mengungkapkan cacatan perjuangan bersama-sama rakan-rakan ABIM Kedah. Nama-nama Ust Niamat, Sheikh Azmi, Cikgu Ibrahim, Ust Azizan Hamid diungkapkan dengan sorotan perjuangan mesti diteruskan walau dimana kita ditempatkan.

Reformasi politik yang diketengahkan oleh Anwar sebelum beliau terhumban dalam penjara, digenggam kemas. Pilhanraya 1999 adalah cacatan manis apabila Ust Fadzil Noor Berjaya di bawa ke Parlimen sekaligus menjadi Ketua Pembangkang. Ramai pimpinan ABIM yang dihantar untuk bertanding atas tiket PAS termasuk Ust Nia’mat Yusof yang bertanding di DUN Tanjung Seri. Dato Sheikh Azmi Hj Ahmad bertanding di Parlimen Kulim Bandar Baharu atas tiket Parti Keadilan Nasional pada masa itu. Saya terlibat secara langsung dalam rundingan , mencadangkan nama-nama ABIM bersama pimpinan ABIM Pusat di rumah Ust Fadzil Noor.

Ketika penubuhan Parti Keadilan Nasional, oleh kerana Dato’ Sheikh Azmi menjadi pimpinan kanan di pusat dan Pengerusi Perhubungan Keadilan Kedah , selepas meletakkan jawatan 24 jam dari jawatan Ketua Hakim Syare’ Malaysia, kerana tidak setuju dengan pentadbiran Dr Mahathir memecat Anwar Ibrahim. Saya menjadi ‘budak suruhan’ Sheikh Azmi. Beberapa penubuhan Bahagian Keadilan di Kedah , saya terlibat dengan aktif dan agresifnya. Meminta rakan-rakan ABIM memegang jawatan atau menganggotai Jawatankuasa penaja, atau menjadi ahli parti. Saya sendiri menjadi ahli di Bahagian Langkawi.

Tahun 2008, ketika DSAI akan memimpin pilihanraya yang beliau tidak boleh bertanding, beberapa nama sahabat, dan pimpinan ABIM di ketengahkan. Saya turut di pinang pada ketika itu, Namun jawatan saya dalam pertubuhan menyebabkan keputusan perlu dirujuk pada Majlis Syura Negeri. Walaupun telah ada rundingan yang telah berlaku dengan DSAI untuk bertanding pada ketika itu. Namun keputusan Majlis Syura Negeri menolak cadangan saya. Saya terpaksa membuat rayuan pada Pimpinan Pusat yang lebih atas (Macam mahkamah rayuan pula), Alhamdulillah permohonan saya diterima, Pimpinan pusat merestui hasrat saya dan akan memaklumkan pada pimpinan Kedah untuk membantu saya sedaya mungkin.

Kini setelah bergelar ahli parlimen dan ahli majlis pimpinan pusat parti, saya berkesempatan mendampingi DSAI secara lebih dekat. Masih banyak lagi yang perlu saya pelajari daripada beliau. Jauh pemikiran beliau dalam semua bab termasuk agama, politik, pentadbiran, kewangan, falsafah, siasah syare’yah, hubungan antarabangsa, bahasa, komunikasi, kebudayaan dan lain-lain. Menjadikan saya insan kerdil disisinya. Apa yang saya milik hanyalah kudrat tulang empat kerat bagi membantu beliau sedaya mungkin. Kita masih berhutang pada Anwar Ibrahim, demikian kata-kata Dato’ Dr Siddiq Fadhil pada satu majis anjuran ABIM. Pada saya menjadi ahli parlimen pun belum terbayar hutangnya yang telah mengagaskan perjuangan dan fikrah murni Islam yang sedang kita nikmati ini.

Berhadapan dengan kes fitnah liwat siri I dan II, serta fitnah jahat video sex, sedikitpun tidak menggugat kepercayaan, penghormatan saya pada DSAI. Saya amat yakin berdasarkan tarbiyyah dalam perjuangan ABIM yang di asaskan oleh beliau bersama rakan-rakan pimpinan, bahawa hakikat perjuangan mesti menempuh mehnah, ujian dan cubaan. Kitab Ust Mustaffa Mashyur mengenai ‘Tribulasi Perjuangan’ yang dijadikan teks usrah dahulu masih relevan kini. Allah swt akan menempatkan kita pada posisi yang sesuai dengan tahap keimanan kita kepada Allah swt. Prinsip agama yang saya pegang menolak bulat-bulat fitnah jahat pada beliau.

Pada Allah juga saya berserah, padaNya juga saya mohon kekuatan, ketabahan, kesabaran untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan yang bakal berlaku pada 9 Januari 2012 nanti. Di hadapan kita ada bahtera negara Malaysia yang perlu dikemudi dengan keperibadian unggul, pemikiran tinggi, akhlaq yang terpuji, kegigihan usaha, keyakinan diri dan memiliki integriti serta sejumlah ciri-ciri kepimpinan yang tiada tolok bandingnya untuk membawa Malaysia kemercu kejayaan. Siapa lagi yang perlu kita sokong dan kita tolong, kalau bukan insan itu bernama Anwar bin Ibrahim.

Catatan sanubari :

Ahmad bin Kasim,
(Ahli Parlimen Kuala Kedah)
.